Susulan rentetan kemelut yang melanda Pakatan Rakyat kebelakangan ini, sayap Pemuda Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan menggesa kepimpinan Pusat untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit dengan segera.

Antara lain, isu-isu yang diketengahkan ialah krisis Menteri Besar Selangor, Akta Hasutan, kes kematian Teoh Beng Hock serta pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan Pemuda Pakatan Rakyat pada Isnin:


Kenyataan Media Mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat
8 September 2014


Pemuda Pakatan Rakyat telah bermuafakat menggesa kepimpinan utama Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor dengan segera.

Kami akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Dato Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang; Presiden PAS, Dato Sri Anwar Ibrahim; Ketua Umum PKR dan Saudara Lim Kit Siang; Ketua Parlimen DAP dalam waktu terdekat untuk menyampaikan hasrat Pemuda Pakatan Rakyat dan harapan anak muda Malaysia.

Pemuda Pakatan Rakyat memandang serius tindakan siri tangkapan di bawah Akta Hasutan akhir-akhir ini. Tindakan-tindakan ini jelas bercanggah dengan janji Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak untuk memansuhkan undang-undang tersebut dan janji memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional pada 2012.

Bagi menyatakan pendirian Pemuda Pakatan Rakyat, kami akan bertemu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 11.00 pagi pada 11 hb September 2014 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya untuk meminta penjelasan segera terhadap isu-isu yang berbangkit dalam isu ini.

Ini merupakan permulaan kepada kempen Pemuda Pakatan untuk memastikan akta ini dimansuhkan serta-merta dan memastikan agar tiada lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa undang-undang tersebut.
Baru-baru ini Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 telah membuat keputusan yang konklusif berkenaan menukar keputusan terbuka koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

Tiga Hakim yang bersidang sebulat suara memerintahkan supaya siasatan lebih terperinci dijalankan tanpa mengecualikan pegawai SPRM.

Maka dengan itu, kami Pemuda Pakatan Rakyat sebulat suara mendesak pihak berkuasa khususnya pihak Polis untuk membuka kembali kertas siasatan berhubung kes tersebut.

Kami menggesa Ketua Polis Negara (KPN) untuk memastikan siasatan terperinci dan telus segera dilakukan demi mencari kebenaran berkaitan kematian Teo Beng Hock lima tahun lalu.

Sebarang penemuan berhubung kes ini pastinya menjadi amat signifikan kerana banyak kematian dalam tahanan pihak berkuasa samada kes Ahmad Sarbaini dan lain-lain.

Pemuda Pakatan Rakyat akan bersama menyokong mana-mana calon yang akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur, Kelantan.

Kami akan berkempen secara bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat.

SUHAIZAN BIN KAIAT
KETUA PEMUDA PAS MALAYSIA

NIK NAZMI BIN NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

TEO KOK SEONG
KETUA DAPSY MALAYSIA