Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat mengarahkan semua ahli pergerakan sayap itu untuk sembahyang hajat dan munajat tiga malam berturut-turut bermula malam ini menjelang mesyuarat PAS Pusat mengenai Isu krisis Menteri Besar Selangor pada Ahad ini.

Katanya, solat hajat dan munajat itu adalah dengan "satu niat yang jitu" memohon Allah memberi petunjuk kepada pimpinan PAS untuk membuat keputusan yang tepat.

"Keputusan yang bakal dicapai nanti merupakan satu noktah penting dalam lakaran sejarah politik tanah air," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI di sini.

Jelas beliau, keputusan PAS pada Ahad nanti bukan saja akan memberi kesan kepada masa depan parti itu tetapi juga jatuh bangun Pakatan Rakyat.

Suhaizan turut meminta ahli Pemuda PAS untuk memperbanyakkan zikir sepanjang mesyuarat berlangsung pada pagi Ahad nanti.

PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada Ahad ini yang akan membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, Suhaizan mendesak supaya mesyuarat PAS Pusat diadakan segera bagi memastikan kemelut politik yang melanda parti itu dan Pakatan Rakyat.

Jelasnya, tarikh 10 dan 13 Ogos yang dicadangkan sebelum ini dilihat terlalu lewat untuk menguruskan krisis yang sedang berlaku antara parti itu dan rakan dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan, PAS sekali lagi menunda tarikh bagi mesyuarat AJK Pusatnya kepada 17 Ogos kerana sejumlah anggota AJK PAS Pusat tidak dapat hadir ke mesyuarat pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini.