Penangguhan Pemilihan UMNO adalah masa terbaik buat jentera parti itu untuk menyelesaikan semua perkara termasuk mengkaji manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Malah, ia dilihat satu pilihan yang tepat untuk mengadakan PRU ke-14 sebelum pemilihan itu dilaksanakan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata masa sekarang adalah waktu untuk semua parti termasuk pihak pembangkang melihat semula manifesto mereka terhadap rakyat, sama ada sudah ditunaikan atau sebaliknya.

UMNO juga katanya perlu menggandakan usaha jenteranya bagi memenuhi janji-janji manifesto mereka terhadap rakyat.

“Saya rasa sekarang apa nasib kita ada? Dua tahun untuk berdepan PRU dan parti kerajaan harus bersedia dan harus memberikan tumpuan kepada persiapan PRU,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Tuisyen Help di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara 2, di sini.

Shahrir juga berpendapat penangguhan pemilihan itu adalah perkara biasa dalam parti dan boleh dilihat dari sudut positif iaitu memberikan tumpuan kepada memperkukuhkan dalaman parti berbanding soal persaingan jawatan.

“Pasal dia terlalu besar dan sudah terlalu lama UMNO jadi parti pemerintah terlalu banyak tumpuan dalam soal mencari jawatan, persaingan jawatan dan sebagainya.

“Bila kita tangguhkan, tugas kita ini beralih kepada soal PRU awal dan beralih kepada PRU supaya semua faham. Ini bukan soal pemilihan parti, tetapi soal pilihan raya itu yang baiknya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahrir yang juga ahli parlimen Johor Bahru menyifatkan krisis dalaman MIC perlu diselesaikan segera sebelum PRU ke-14.