SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta supaya serangan yang dimulakan sama ada secara terangan-terangan mahupun halus oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh terhadap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dielakkan.

Pengarah Komunikasinya, Haziq Azfar berkata, di saat penilaian rakyat mengenai prestasi kerajaan semasa terus kritikal, Dr Muhammad Akmal tidak boleh mengeruhkan lagi keadaan dengan memulakan bibit provokasi hanya kerana tidak berpuas hati dengan keadaan semasa.

“Adalah tidak adil buat rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang berusaha mengekalkan keharmonian dan hormat menghormati dalam kalangan komponen tatkala pemimpin utama UMNO seperti beliau mengeluarkan kenyataan yang berupaya mewujudkan perasaan syak wasangka antara satu sama lain.

“Sebaliknya, beliau dicadang untuk terus menumpukan usaha yang mampu memberi nilai tambah seperti terus mengukuhkan sokongan anak muda Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan, sekali gus menjadi pemain pasukan yang baik dan mengendurkan persengketaan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, hantaran Dr Muhammad Akmal yang dimuat naik bersama gambar ketika Himpunan Aman Pulangkan Najib tahun lalu menimbulkan tanda tanya.

Ia dipercayai dibuat sebaik sahaja keputusan Lembaga Pengampunan yang mengesahkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dikeluarkan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tentang sebarang perkara yang dimaksudkan.

Terbaharu, pada Sabtu beliau memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang menyindir keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Jelasnya, laporan tersebut dibuat susulan tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu mempertikaikan kata putus yang dibuat oleh Yang di-pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 29 Januari lalu. - Sinar Harian