SHAH ALAM: Khidmat kepada rakyat di Parlimen Petaling Jaya akan terus diberikan meskipun Ahli Parlimennya, Wong Chen telah meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan Wong Chen untuk tidak menghadiri program parti termasuk Kongres PKR di Melaka baru-baru ini perlu dihormati.
“Memang benar, beliau telah lama tidak menghadiri apa-apa mesyuarat parti, apa-apa program parti termasuk kongres baru-baru ini di Melaka dan itu pilihan beliau.Kita hormati pilihan beliau.
"Tapi seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata khidmat kepada rakyat terutamanya di Parlimen Petaling Jaya akan diteruskan” katanya ketika diminta mengulas perkembangan berkaitan kedudukan Wong Chen dalam PKR.
Menurutnya, terdapat beberapa pihak termasuk ketua cabang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli majlis yang boleh membantu menguruskan keperluan dan permohonan rakyat di kawasan berkenaan.
“Kita ada ketua cabang, kita ada ADUN, kita ada ahli majlis yang akan membantu untuk pastikan apa-apa permohonan termasuk untuk sumbangan dan sebagainya boleh diuruskan oleh pihak ICU Selangor.
“Jadi ada beberapa, sama ada ADUN ataupun di pihak cabang yang akan membantu untuk menguruskan perkara itu.
“Jadi, good luck to him,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat.
Wong Chen yang juga Ahli Parlimen daripada PKR berkata, surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.