Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menepati Konsep Tanggungjawab Bersama Kabinet.

Beliau yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berkata, banyak pihak akan memahami tindakan Perdana Menteri itu jika mereka memahami maksud sebenar konsep berkenaan.

"Saya ingin mempertahankan perbuatan Perdana Menteri. Itu kuasa Perdana Menteri,"

"Saya telah menduduki empat tahun dalam kabinet. 'Principle of Collective Responsibility', kita sama-sama bertanggungjawab tidak kira apa pun berlaku dalam keputusan kabinet," katanya semasa berucap pada majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai ke-21 di Kuala Lumpur.

"Kita boleh berbalah dalam kabinet, kita boleh tidak bersetuju dalam kabinet. Kalau akhirnya kita tidak bersetuju, kita letak jawatan. Itu biasanya berlaku di Eropah.

"Yang melantik menteri adalah Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri tidak cakap maka dia tidak lantik-lah," katanya.

BACA: "Saya tetap setia dengan UMNO, tidak akan sertai parti lain" - Muhyiddin

Sebelum ini, Perdana Menteri dalam kenyataannya selepas mengumumkan rombakan kabinet berkata, beliau boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan.

Namun, katanya sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara dan bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet.