LENGGONG: Pengundi muda akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Menurutnya, pengundi muda adalah bijak dan jentera parti perlu pandai mendekati mereka kerana pengundi muda merupakan antara komponen penting yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Jelasnya, dengan pertambahan jumlah pengundi yang agak banyak, mereka mampu menjadi penentu kepada nasib semua calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.

“Peluang yang ada, perlu digunakan seluas-luasnya bagi mendampingi pengundi muda menerusi penganjuran aktiviti belia, pertukaran maklumat dan pandangan mengenai isu semasa.

“Seperti di Lenggong, jumlah pengundi muda juga semakin bertambah. Mereka perlu didekati dan diberikan penerangan selengkapnya supaya mereka membuat keputusan terbaik dalam memilih wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas saingan di Lenggong, Shamsul Anuar berkata beliau tetap bekerja keras dan tidak berehat bagi memastikan kawasan itu terus mencatatkan keputusan 3-0 buat Barisan Nasional.

“Biarpun Lenggong dilabel sebagai kubu kuat BN, saya akan terus bekerja keras menemui pengundi seramai mungkin dalam tempoh berkempen sebelum hari pengundian nanti,” ujarnya.

Parlimen Lenggong menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Shamsul Anuar bakal berdepan dengan calon PN, Muhamad Rif’aat Razman (Pas) dan calon PH, Jurey Latiff Rosli (PKR).