Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah kekal dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Kedah, bersetuju untuk menyokong kepimpinan beliau meskipun sebarang kata sepakat di peringkat pusat masih belum dapat dicapai.

Menurut Mukhriz, tindakan mewujudkan kepimpinan kerajaan negeri yang berstatus PH dan Bersatu ini adalah bagi menjamin kesepakatan serta proses perjalanan kerajaan negeri Kedah berjalan seperti biasa.

"Sebentar tadi saya telah menghadap, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin, Sultan Negeri Kedah, Duli Tuanku berkenaan mendengar penjelasan mengenai situasi semasa politik negara dan negeri.

"Dalam masa sama saya telah mempersembahkan warkah penzahiran sokongan terhadap saya, daripada 18 Adun PH dan Bersatu kepada Tuanku, Alhamdulillah Tuanku telah berkenaan menerima warkah tersebut dan memperkenankan agar saya terus memegang jawatan menteri besar Kedah," katanya semasa sidang media di kediamannya di sini, pada Khamis.



Menurut Mukhriz lagi, keputusan untuk mewujudkan kerajaan PH dan Bersatu di Kedah dengan menggabungkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri PH dan Bersatu negeri itu telah menerima restu daripada Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan yang diambil itu juga telah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Parti Bersatu.

Tambahnya, kepimpinan kerajaan PH dan Bersatu ketika ini juga tidak akan melakukan sebarang perubahan keatas portfolio yang dipegang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sedia ada.

Kedudukan komposisi kerusi DUN di pihak pembangkang negeri itu menyaksikan gabungan Muafakat Nasional kekal dengan 17 kerusi dimana Pas memiliki 15 kerusi manakala Barisan Nasional 2 kerusi.