KUALA LUMPUR: Peralihan kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya menarik minat banyak negara dari seluruh negara dan meletakkan harapan yang tinggi kepada pentadbiran kerajaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reaksi yang diterima termasuk negara Islam, Eropah, Barat serta China begitu positif, dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya bersyukur selepas ada peralihan kuasa ini, minat negara-negara Islam itu hampir keseluruhannya hubungi dengan harapan yang tinggi, kemudian negara-negara Eropah dan Barat, serta China nampak begitu positif.

"Jadi kita tentunya harus berperanan sama ada soal pembelaan nasib rakyat Palestin, atau isu-isu antarabangsa lain.

"Tetapi fokus saya di peringkat awal ini ialah isu domestik, ekonomi, kos sara hidup rakyat dan soal peluang pekerjaan dan perumahan rakyat, itu yang saya tumpuan sepenuhnya," katanya dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri yang disiarkan RTM, pada Khamis malam.

Menyentuh mengenai lawatan kerja ke negara jiran pula, Perdana Menteri berkata, ia bagi menzahirkan semangat persahabatan antara negara-negara berkenaan.

Anwar dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada 8 dan 9 Januari ini, yang juga merupakan lawatan kerja ke luar negara pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, mengenai sokongan anak muda yang didakwa tidak memihak kepada kerajaan hari ini, Anwar berkata ia hanya bersifat sementara.

Jelas Perdana Menteri, keadaan itu boleh berubah sekiranya kumpulan berkenaan mendapat maklumat tepat dan benar.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama termasuk pemimpin untuk memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada golongan itu.

"Dikatakan mereka ini terpukau dengan soal kaum dan sebagainya namun ini hanya sebahagiannya sahaja kerana ada juga yang terpukau dengan wang ringgit, kita pun tahu.

"Jadi jangan runsing sangat dengan trend itu, ia hanya episod sementara kerana kita tahu ada yang naik motosikal dapat RM150 (ketika berkempen PRU15), jadi apakah ini kesilapan mereka, ini ajaran dari bapanya (pemimpin) yang membawa satu amalan bercanggah dengan nilai yang patut kita terapkan pada anak muda," ujar Perdana Menteri.