Peranan UMNO signifikan pastikan kerajaan perpaduan stabil - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) menjawab pertanyaan media pada Majlis Penyerahan Sijil Kelahiran di Sungai Buaya hari ini. - Foto BERNAMA
RAWANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peranan yang dimainkan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sangat penting, khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara.
Ringkasan AI
- Peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan penting untuk kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara.
- Kematangan politik UMNO sebagai parti Melayu terbesar dalam kerajaan memperkukuh perpaduan dan memastikan kerajaan berfungsi dengan baik.
- Kestabilan politik semasa membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pertumbuhan ekonomi, dan tadbir urus yang lebih teratur.
Saifuddin Nasution berkata kestabilan politik yang dinikmati ketika ini jelas berbeza berbanding penggal lepas, yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh lima tahun, manakala kerajaan sedia ada mengekalkan seorang perdana menteri sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran.
Beliau berkata kestabilan itu membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pertumbuhan ekonomi dan tadbir urus yang lebih teratur, sekali gus mencerminkan kemakmuran negara dengan petunjuk ekonomi yang positif.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, Saifuddin Nasution berkata langkah itu menghantar isyarat jelas bahawa kepimpinan negara berteraskan prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawaban, selain memberi ruang mencukupi untuk menterjemahkan dasar dan reformasi yang dirancang.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan kepimpinan UMNO dalam memposisikan parti itu dalam landskap politik semasa, sambil menegaskan Kerajaan Perpaduan kekal bersatu, stabil dan berfungsi dengan baik.
Sabtu lepas, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Salleh ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), berkata Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan "menebuk atap" sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


