KUCHING: Tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempercepatkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Malah, ia turut mempamerkan bahawa parti kerajaan negeri itu lebih mementingkan kelangsungan politik berbanding nyawa rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian menegaskan bahawa PRN12 harus diadakan selepas Proklamasi Darurat tamat pada 2 Februari depan.

“Untuk mengadakan PRN12 ketika kes COVID-19 masih tinggi di Sarawak hanya membuktikan bahawa pemimpin GPS ini pentingkan politik daripada nyawa rakyat, kita (Sarawak) belum bersedia untuk pilihan raya.

“Jika mahu mengadakan juga dalam tempoh beberapa bulan akan datang, peratusan rakyat turun mengundi akan kurang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata tindakan itu juga jelas menunjukkan bahawa GPS mahu mengelak daripada pelaksanaan Undi18.

Tambahnya, jika GPS yakin dengan kemampuan untuk mengekalkan kemenangan pada PRN12, mereka harus menunggu sehingga darurat ditamatkan.

“Kenapa tidak menanti sehingga (darurat tamat) Februari tahun depan, kalau anda (GPS) yakin dengan peluang (untuk menang).

“Jika mereka fikir telah melakukan yang terbaik untuk penggal ini, mereka tidak perlu risau untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh memohon kepada Yang di-Pertuan Agong agar tidak memperkenankan pilihan raya negeri Sarawak diadakan dalam masa terdekat sehingga proklamasi darurat diangkat.

Untuk rekod, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah berakhir pada 6 Jun lalu bagaimanapun PRN12 ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong sehingga 2 Februari tahun depan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya berkata pilihan raya negeri boleh diadakan dalam tempoh darurat sekiranya telah mendapat perkenan Baginda selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri atas nasihat ketua menteri.