KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini sedang bergelut untuk 'membeli dan mengugut' mana-mana Ahli Parlimen sebelum sidang Parlimen diadakan.

Ini kerana, dakwa beliau, PN yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai keyakinan selain hilang sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Kerajaan PN perlu undur kerana sudah hilang majoriti. Maka bergelut mereka beli, upah, ugut sedaya upaya mereka untuk mendapat dokongan sebelum boleh difikirkan (sesi) Parlimen bersidang," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan dua pemimpin PKR iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Sarawak dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang mengambil keputusan meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

 
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan

Mengulas lanjut isu lompat parti, Anwar yang Ketua Pembangkang turut mengimbau kejadian selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 di mana Ahli Parlimen yang bertindak sedemikian kini ditendang rakyat pada PRU-15.

"Ini kerana pertimbangan mereka, peribadi mereka. Tekanan terhadap mereka, apakah (dari segi) cukai, apakah (ditawarkan) projek, atau apa-apa tekanan lain sehingga mereka tidak ada pilihan, (tetapi mereka kata) kononnya untuk bela nasib rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar kerajaan berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang.

"Itu patut tuntutan kita. Bukan tuntutan wakil rakyat harus jadi pejuang rakyat, juru bicara rakyat, suara hati nurani rakyat kemudian mengaku kalah. Ini disebut kegalauan pemikiran.

"Kalau benar kita cinta kepada rakyat dan mahu rakyat bangkit bersama, kita harus tuntut Parlimen mengadakan sidang dan kerajaan PN undur kerana mereka hilang majoriti," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali lagi mengulangi gesaan agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membahaskan isu rakyat termasuk pengangguran dan kemerosotoan pelaburan asing.



Akuan Bersumpah | Dua bekas Ahli Parlimen PKR sokong PN