Perikatan Nasional sedia hadapi PRU bila-bila masa - Presiden Pas

Pas tiada sebarang masalah untuk menghadapi pilihan raya umum jika diadakan secara mengejut, kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi Awang berkata, dalam usaha mengukuhkan kerajaan PN, mandat harus diberikan secara langsung kepada rakyat. - Gambar fail | Astro Awani
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) sekiranya diadakan secara mengejut.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tiada sebarang masalah untuk menghadapinya pada bila-bila.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, dalam usaha mengukuhkan kerajaan PN, mandat harus diberikan secara langsung kepada rakyat.

“Kita bersedia (hadapi PRU) bila-bila masa… (kita) perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat, sekarang (kerajaan hari ini) dapat mandat daripada wakil rakyat..

“Ahli Parlimen pilihan rakyat telah membuat persetujuan sehingga kita mendapat simple majority untuk menubuhkan kerajaan PN, jadi supaya kerajaan lebih teguh perlu kepada mandat secara langsung daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah secara online di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Pas memberi bayangan tiada pertandingan tiga penjuru pada PRU-15, sebaliknya hanya satu lawan satu bagi menentang pembangkang.

Selain itu, Abdul Hadi turut mendedahkan pemimpin parti dalam PN juga bersetuju untuk meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU-15.

Katanya, kesepakatan itu juga dilihat menerusi prestasi Perdana Menteri berdasarkan kaji selidik serta tindak balas daripada rakyat.