SHAH ALAM : Perdana Menteri menegaskan, perjanjian antara kerajaan dan pembangkang tidak melibatkan dasar sebaliknya hanya menumpukan kepada transformasi Parlimen.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, persetujuan yang dicapai ketika ini termasuk Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti dan Akta Pendanaan Politik.      

"Saya pergi Indonesia jumpa Pak Jokowi... (beliau) mesti keliru... sebab pertama kita akan lawat Indonesia, itu tradisi kita. (Mula-mula) Tun Dr Mahathir (Mohamad) lawat, tak lama lepas itu Tan Sri Muhyiddin (Yassin), kemudian Datuk Seri Ismail Sabri.

"Saya kata, Pak (Jokowi), jangan bimbang selepas ini kalau kerajaan tumbang pun, kita buat PRU (pilihan raya umum), tak payah nak ganti-ganti PM lagi.

"Jadi politik tidak stabil, sebab itulah apabila saya mengambil alih kerajaan untuk menstabilkan politik, kita buat persetujuan dengan pembangkang, tetapi persetujuan tidak melibatkan dasar, cuma perlukan transformasi Parlimen," katanya semasa berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di sini pada Ahad. 

Pemimpin BN perlu imej bawa kecemerlangan negara - PM Ismail Sabri

Selain itu katanya, perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara pembangkang dengan kerajaan membolehkan tumpuan diberikan kepada pemulihan ekonomi negara.

"Dengan MoU tersebut, keadaan negara menjadi stabil dan kita boleh fokus untuk pulihkan ekonomi. Ekonomi negara sebenarnya semakin pulih. 

"Berdasarkan statistik, di sebalik tekanan inflasi, nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan rekod baharu iaitu RM129.8 bilion pada Mei, tertinggi sejak 2013 pada bulan Mei, " ujarnya.