KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan parti itu tidak bersetuju Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) yang hangat diperkatakan sesetengah pihak, kebelakangan ini.

Menurutnya, perjanjian itu merupakan satu unsur salah guna kuasa dan dianggap sogokan.

"Kami tidak pernah bersetuju Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA), sebab pada hemat kami itu satu unsur salah guna kuasa juga.

"Ya, kami rasakan kalau itu dituntut dan diberikan sokongan, kalau bekalan kita berikan itu boleh dianggap sebagai sogokan," katanya.

Tambah Mukhriz, perjanjian itu bukanlah satu perkara yang penting kerana Ahli Parlimen pembangkang juga boleh memberikan perkhidmatan terbaik tanpa perjanjian berkenaan.

"Sewaktu kami menjadi pembangkang, kami tidak ada masalah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan kawasan masing-masing.

"Jadi, saya tidak nampak ianya menjadi satu perkara terlampau penting, sehingga menyebabkan kita mengenepikan prinsip perjuangan," katanya.

Tegasnya, tumpuan Pejuang hanyalah untuk memulihkan keadaan yang dihadapi oleh negara ketika ini.

"Sekali lagi saya nyatakan, tumpuan kami ialah untuk memulihkan keadaan kesihatan, ekonomi dan sosial yang sedang melanda negara ketika ini. 

"Tidaklah terlalu terlampau memberi perhatian soal kepentingan parti, kepentingan Ahli Parlimen merebut jawatan dan sebagainya," ujar Mukhriz ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI Khas terbitan Astro Awani, di sini pada Rabu.