Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya mempertahankan kesucian agama Islam, Akta Hasutan demi keselamatan negara dan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa yang menyatukan bangsa di negara ini, kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata pertubuhan itu juga turut berjuang untuk mendapatkan keadilan ekonomi bagi Bumiputera khususnya orang Melayu dan memperkasakan institusi raja-raja Melayu.

"Kita tidak gentar apa sahaja tuduhan dan tohmahan mahupun fitnah yang dilemparkan terhadap PERKASA kerana semua pihak tahu, dari segi rekod, PERKASA adalah sebuah pertubuhan yang bersih berjuang mengikut landasan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Agung Khas PERKASA Parlimen Kuala Nerus di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Perkasa Terengganu Datuk Ismail Saamah dan 200 anggota PERKASA.

Ibrahim berkata, PERKASA tidak pernah melakukan tindakan yang boleh menggugat keselamatan negara, malah kebanyakan persepsi buruk yang dilemparkan kepada pertubuhan itu adalah hasil daripada berita-berita yang diputar belit terutama menerusi media sosial.

Katanya, PERKASA tetap bersabar dengan segala tohmahan dan akan terus menongkah arus dengan penuh istiqamah dalam menghadapi pelbagai cabaran serta ujian bagi menggalas perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

"Dalam hal ini, kita tetap bersikap kritikal dan saya yakin anggota Perkasa juga mempunyai semangat jati diri dan patriotisme yang tinggi dalam menghadapi cabaran semasa," katanya.

Mengulas isu semasa termasuk provokasi berhubung isu bakar Bible yang dibangkitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini, dengan nada sinis Ibrahim berkata "mana-mana pihak yang cuba menyebar tuduhan, fitnah atau tohmahan terhadap pertubuhan itu perlu menerima akibat daripada perbuatan mereka kerana Perkasa tahu bila hendak bertindak dan ia tidak akan terjerat".

Menurutnya walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan, sokongan umat Islam terhadap Perkasa semakin bertambah malah turut menerima keanggotaan dalam jumlah yang bukan sedikit setiap hari.

"Lagi banyak mereka menyerang PERKASA, lagi banyak untung kepada PERKASA kerana tohmahan dan fitnah yang dilemparkan, menjadi faktor kepada kekuatan anggota PERKASA dan orang Melayu secara umumnya," katanya.