KUALA LUMPUR: Sudah sampai masa penyelesaian kepada masalah rakyat tidak boleh semata-mata difikir dan ditentukan oleh kerajaan pusat.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berpendapat bahawa kerajaan negeri harus diperkasakan supaya penyelesaian isu rakyat di peringkat akar umbi itu lebih tepat dan berkesan.

“Bukan sahaja kerajaan negeri malah majlis perbandaran tempatan perlu diberi kuasa.

“Contohnya dalam hal menangani isu kemiskinan, kalau ikut kerajaan persekutuan, kajian kemiskinan terhadap isi rumah itu dilakukan setiap tiga tahun tak silap saya tapi kerajaan tempatan diberi kuasa mungkin data yang lebih terkini dan terperinci boleh didapati,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Katanya, kuasa mentadbir yang lebih besar diberikan kepada Sabah dan Sarawak memperlihatkan kecekapan dua negeri tersebut menguruskan hal ehwal tempatannya, dan Amir melihat perkara sama harus dibuat kepada negeri-negeri di semenanjung.

Perkasakan kerajaan tempatan untuk bantu selesai isu akar umbi - Amir Fareed