PUTRAJAYA: Perjanjian permuafakatan antara gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan akan menutup ruang berlakunya satu lagi Langkah Sheraton, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu berkata ini kerana perjanjian yang dimeterai hari ini perlu dilihat bersekali dengan kewujudan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

"Insya-Allah tidak lagi (berlaku Langkah Sheraton) sebab kita kena baca dua perkara bersekali iaitu satu dokumen yang ditandatangani hari ini bersekali dengan apa yang kita usahakan iaitu pindaan kepada Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di sini.

Lima gabungan parti politik utama negara - PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan telah menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil.

Langkah Sheraton pada Februari 2020 dikaitkan dengan kejatuhan kerajaan yang diterajui PH selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 serta Tun Dr Mahathir Mohammad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Rentetan episod itu, Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mac 2020 sebelum diganti oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021.

Fahmi juga berkata perjanjian yang membabitkan kelima-lima gabungan itu adalah satu detik bersejarah dalam senario politik negara dan ia titik noktah kepada proses yang bermula dengan keadaan Parlimen tergantung.

"Pembentukan atau usaha yang kita lihat berdasarkan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar dibentuk sebuah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata hubungan baik dan akrab antara kepimpinan tertinggi lima gabungan parti politik itu adalah isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan sentiasa dalam keadaan baik.

"Ini isyarat jelas, fokus kita selesaikan masalah rakyat dan hubungan erat itu akan menjamin satu kestabilan untuk membantu memacu ekonomi negara demi kemakmuran bersama," katanya.

-- BERNAMA