Perpaduan dalam kalangan anggota UMNO Kelantan berada pada tahap terbaik ketika ini berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Jazlan berkata pada minggu lepas, kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian telah mengadakan aku janji dan bersumpah bahawa mereka akan taat setia kepada perjuangan parti serta patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti.

"UMNO Kelantan memberi jaminan tidak akan berlaku perpecahan sesama sendiri sehingga boleh melemahkan perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Machang di Sekolah Kebangsaan (SK) Machang 2 di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Naib Ketua UMNO yang kini menggalas tugas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kepimpinan UMNO Kelantan mengukuhkan kedudukan parti itu di negeri ini dengan melupakan sengketa sesama sendiri bagi membolehkan parti itu menawan Kelantan pada PRU14.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berharap rakyat Kelantan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang untuk membawa perubahan kepada negeri ini selepas kegagalan pentadbiran PAS sejak hampir 30 tahun.

Beliau berkata rakyat mesti berani membuka lembaran baharu dalam hidup mereka dengan membuat perubahan. -- BERNAMA