KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa ingin mengubah sempadan pilihan raya, dikritik Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Dalam satu kenyataan, Bersih 2.0 menyifatkan kenyataan itu jelas menunjukkan niat untuk melukis sempadan dengan pembahagian tidak sekata (malapportionment) dan gerrymandering bagi memenangkan parti beliau dalam pilihan raya.

"Persempadanan yang berat sebelah (gerrymandering) adalah pengkhianatan kepada demokrasi.

"Dengan gerrymandering, ahli politik memilih pengundinya, memastikan bahawa penyokongnya mendominasi banyak kawasan sungguhpun sokongan rakyat telah menurun.

"Mangsa paling besar daripada pembahagian tidak sekata yang melampau ialah anak muda, kerana mereka tertumpu di kawasan kota yang kawasan-kawasan pilihan rayanya padat dengan pengundi," kenyataan itu menyebut.

Bersih 2.0 juga menggesa agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memperbaiki pembahagian tidak sekata di dalam negeri (interstate malapportionment) yang bertambah teruk kesan daripada persempadanan semula pada tahun 2016.

"Negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu juga menerima
kesan buruk daripada pembahagian tidak sekata antara saiz parlimen terbesar dan parlimen terkecil, melebihi 33.33 peratus sisihan piawai yang dibenarkan.

"Sebagai contoh, nisbah kawasan parlimen terbesar dan terkecil di Kedah adalah 2.7, Kelantan 2.4 dan Perak 3.4. Pembahagian tidak sekata melanggar prinsip “satu orang, satu undi” dan ini memberi kesan terhadap perwakilan rakyat di kawasan-kawasan yang telah dibahagikan secara tidak sekata," tambah kenyataan itu.