DETIK proses demokrasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini lengkap apabila pengundi mula mula 'tunjuk taring' untuk memilih calon yang akan mewakili mereka bagi tempoh lima tahun lagi atau sehingga tahun 2021.

Ia mencakupi hal Perlembagaan dari segi undang-undang pilihan raya yang disempurnakan peranan calon dan jentera sendiri.

Jadi seharusnya 7 Mei ini disambut dengan penuh kemeriahan dan menjadi hari paling istimewa untuk pengundi berdaftar.

Bagaimana tidak, ia simbol keizinan pengundi untuk pemilihan wakil yang akan memimpin kemajuan, pembentukan kerajaan dengan harapan serta AkuJanji di dalam manifesto yang diungkap semasa berkempen.

Selepas hari ini, calon-calon berkenaan menggendong tanggungjawab untuk melaksanakan semua kata-kata manis sebelum dinilai semula dalam tempoh 60 bulan lagi.

Rahsia undi

Tidak ada pihak yang boleh menafikan, sistem yang dibuat pada hari ini sebenarnya rahsia kejayaan pengundian itu sendiri. Kerana itu apabila bercakap tentang kerahsiaan undi, ia sebenarnya satu kejayaan yang sedar tidak sedar sudah dipromosi setiap kali musim mengundi.

Seperti di Sarawak, ia sudah lama direalisasikan dan satu demi satu kejayaan sudah terjemahkan kepada rakyat dari PRN pertama sehingga ke-11 hari ini.

Ia kemuncak satu perjalanan kejayaan yang penuh manis apabila diukur dengan majoriti serta undi ikhlas daripada pengundi sendiri. Ia penentu proses nyata yang dilihat apabila setiap kertas undi dikira satu persatu di hadapan semua.

Begitulah ceritanya pendemokrasian negara.

Semua calon-calon yang menawarkan diri tentu mahu melihat mereka berjaya dan ia dianggap satu mandat untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi hasrat dan amanah pengundi.

Wakil rakyat ini kelak perlu menjadikannya satu amanah yang perlu ditunaikan, ia bukan perkara yang dianggap mudah kerana tempoh 2016 sehingga 2021 dilihat akan penuh dengan cabaran oleh mana-mana pasukan yang hendak membentuk kerajaan.

Terus tradisi

Namun kepada kumpulan yang mempunyai pengalaman dan menang pada PRN kali ini, ia perlu dilihat satu kesinambungan dan perlu membuat sesuatu untuk meneruskan tradisi itu seawal detik menang PRN.

Tempoh lima tahun itu sudah memadai untuk rakyat menilai dan memenuhi aspirasi yang dibawa wakil rakyat mereka.

Jadi, apabila keputusan diumum, wakil rakyat itu sudah seharusnya cukup bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan bukan baru mahu berfikir terhadap pelbagai risiko yang perlu dihadapinya.

Bagi calon yang kalah pula, mereka tidak boleh meletakkan kesalahan itu di atas prinsip undang-undang dengan alasan menjadi punca kekalahan mereka.

Hakikatnya, kita dapat tengok pastinya ada sahaja laporan atau rungutan dibuat namun biarkan rakyat sendiri yang menentukannya.

Kepada calon, pada hari ini, seseorang itu tidak perlu lagi apa-apa kempen nakal atau strategi propaganda.
Jika diteruskan, ia hanya akan dianggap tidak berjaya dan sengaja melemahkan kempen yang sudah dibuat selama ini. Calon itu juga boleh dikategorikan sebagai sengaja tidak merancang kejayaan untuk dirinya sendiri.

Kepada pengundi, setiap pangkah kepada calon itu harus dilakukan dengan niat menjayakan sebuah kerajaan, parti atau calon yang boleh dipercayai.

Mereka perlu bijak memilih calon yang berpengalaman, sudah banyak kali menang dan terbukti memberi bakti selain tidak boleh menolak kemungkinan memberi undi kepada calon baru dengan faktor-faktor yang tertentu.

Tahu kuasa

Pengundi yang pertama kali mengundi juga perlu tahu kuasa dimiliki mereka. Jangan sengaja merosakkan kertas undi atas apa juga alasan.

Keghairahan atau keseronokan (mungkin) mahu merosakkan kertas undi bukan penyesaian dorongan emosi selain pengundi sendiri perlu melihatnya dari sudut positif kepada kawasan mereka sendiri termasuk apa yang boleh ditawar calon berkenaan sekurang-kurangnya untuk satu penggal.

Pastikan nilai undi anda berharga untuk lima tahun akan datang.

Kepada mereka yang akan berjaya, tahniah dan gunakan peluang ini dengan menunaikan kewajipan sebaiknya kepada pengundi yang sudah memberi kepercayaan.

Hari ini juga kejayaan yang harus dirai bersama semua agensi keselamatan, polis, tentera, Rela dan penguatkuasa yang berkenaan.

Semuanya ada bahagian masing-masing di dalam proses pendemokrasian yang diperbaharui 'lesen' masing-masing dalam masa lima tahun sekali.