SHAH ALAM: UMNO Selangor mengadakan pertemuan bagi membincangkan tawaran yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) Selangor kepada parti berkenaan, di sini, pada Jumaat.

Mesyuarat diadakan di Pejabat UMNO Shah Alam itu disertai semua ketua bahagian dan dipengerusikan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Megat Zulkarnain ketika ditemui berkata, pertemuan itu bukan hanya membincangkan soal jumlah dan tawaran pelantikan Ahli Majlis kepada Barisan Nasional (BN) tetapi beberapa isu berbangkit.

Beliau berkata, ia termasuk pelantikan wakil BN dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga ketua kampung dari BN selepas BN dan PH menjadi satu pasukan dalam kerajaan di negeri berkenaan.

"Jadi saya tidak percaya dengan maklumat berdasarkan 'sumber' kerana UMNO ada sistem dan kaedah dan bincang dan bila berbincang kita putuskan dan kita tengok apa keputusan dicapai.

"Ini bukan soal ego, bukan soal tidak menyedari BN hanya ada dua kerusi di Selangor tetapi ini melibatkan soal prinsip parti yang mesti kita juga pertahankan," katanya ketika ditemui di pejabat UMNO di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain turut kecewa dengan dakwaan BN Selangor tidak berjiwa besar selepas parti tersebut hanya menang dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

"Ini merupakan satu tuduhan agak keras sedangkan kita tahu di Melaka mereka (PH) turut membuat tuntutan tidak wajar tetapi saya bangga kerajaan negeri Melaka tidak melantik lagi Ahli Majlis sampai sekarang.

"Penubuhan kerajaan negeri Melaka bukan terbentuk selepas PRN, BN menang (majoriti) tiga perempat dan mereka (PH) menuntut jauh lebih banyak daripada apa yang kita (BN Selangor) tuntut, kita bukan tuntut kita cadang, bincang," katanya.

Megat Zulkarnain bagaimanapun tidak berkongsi jumlah tawaran diberikan PH Selangor dan berapa jumlah tuntutan diputuskan dalam perbincangan itu sebaliknya menyerahkan keputusan mesyuarat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita semua akan berjumpa dan memaklumkan keputusan mesyuarat di peringkat perhubungan negeri (malam ini) kepada Presiden UMNO di Sepang pada Ahad ini," katanya. - Sinar Harian