KUALA LUMPUR: Pertemuan beberapa Menteri UMNO di sebuah hotel di Putrajaya mungkin berbincang mengenai keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lebih awal.

Demikian jelas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika diminta mengulas berhubung pertemuan beberapa pemimpin itu pada Jumaat.

Bagaimanapun, jelasnya pertemuan itu tidak memberi impak kerana keputusan pelaksanaan pilihan raya umum ditentukan 'Top 5' pemimpin UMNO.

"Ya, mereka (Menteri UMNO) mungkin sedang bincang pasal keperluan PRU15. Namun, pertemuan itu tidak akan beri sebarang impak kerana keputusan pelaksanaan pilihan raya umum masih perlu ditentukan 'Top 5' UMNO.

"Sebagaimana saya jelaskan dalam perbahasan di Parlimen pada Rabu, apabila kerajaan kalah dalam undi belah bahagi sesuatu usul, kerajaan sebenarnya sudah hilang asas moral untuk terus mentadbir negara ini," jelasnya.

Tambahnya, lagi, mengikut amalan demokrasi negara-negara luar seperti Britain, jalan yang betul adalah mendapatkan kembali sokongan rakyat selaku pengundi sekiranya kerajaan kalah dalam pembentangan usul mahupun Rang Undang-Undang (RUU).

"Lagipun, kekalahan kerajaan turut membuktikan pihak pembangkang tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai dengan kerajaan," ujarnya lagi memetik laporan Sinar Harian.

Sehingga kini, belum dapat dipastikan tujuan pertemuan beberapa pemimpin itu diadakan.

Khabar angin mengenai pelaksanaan PRU15 lebih awal semakin kuat kedengaran susulan kegagalan kerajaan melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen pada Rabu lalu.

Malah beberapa pemimpin utama UMNO sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan mengenai isu ketidakstabilan kerajaan.

Bagaimanapun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini memaklumkan Perdana Menteri belum hilang kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Jelasnya, berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU yang dijalinkan dengan pembangkang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat sekiranya usul kerajaan tidak disokong.