SEREMBAN: Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Rabu membenarkan permohonan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tan Sri M Ramasamy untuk membatalkan petisyennya bagi mencabar kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), R. Yuneswaran di Parlimen Segamat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Rohani Ismail yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Ramasamy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee memaklumkan, pempetisyen menarik balik keseluruhan petisyen terhadap responden pertama, kedua dan ketiga di bawah Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Rohani turut memaklumkan tiada perintah mengenai kos dikenakan.

Prosiding itu turut dihadiri, peguam mewakili Yuneswaran iaitu Lau Yi Leong, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Manivanan Gowin.

Selain itu, Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud dan Noridayu Md Kassim mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Segamat dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada Januari lalu, Ramasamy telah memfailkan petisyen tersebut, namun Hakim Mahkamah Pilihan Raya Mohd Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya itu.

Ia selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden (Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR) bahawa petisyen Ramasamy cacat kerana gagal mematuhi kehendak Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Namun Ramasamy telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 14 April lalu di Mahkamah Persekutuan.

Pada PRU15, Yuneswaran menang di Segamat dengan majoriti 5,669 undi dan mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional, P. Poobalan dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey.

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya melibatkan bahan kempen.

Calon daripada MIC itu turut mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Sementara itu, Ramasamy ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau membatalkan hasrat untuk meneruskan petisyen tersebut kerana BN dan PH kini berada di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Disebabkan itu tidak guna lagi kita bergaduh dan sebab itu saya 'withdraw' (tarik diri) serta memilih untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri dan kerajaan sedia ada," katanya. - Sinar Harian