Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan pembaharuan dan pemerkasaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk memperkasa ekonomi bumiputera.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agensi berkenaan juga hendaklah diberikan nafas baharu dengan melaksanakan tadbir urus yang baik dan membanteras gejala rasuah dan ketirisan.

Jelasnya, ia termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB),Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Unit Penyertaan Bumiputera.

"Di bawah dasar baharu ini, kerajaan mesti mengenal pasti kumpulan-kumpulan usahawan dan peniaga Bumiputera yang tulen untuk dibantu.

"Untuk tujuan ini, satu data-raya perniagaan Bumiputera boleh dibangunkan untuk mengenal pasti, memudah cara dan menyokong peniaga Bumiputera yang benar-benar layak.

"Data-raya ini juga akan dapat mengenal pasti kumpulan usahawan muda dan syarikat startup Bumiputera terutamanya yang menceburi bidang-bidang teknologi baharu dan ekonomi masa hadapan seperti ekonomi digital, tenaga diperbaharui, pertanian berautomasi dan kewangan berteknologi (fintech) selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Kata Muhyiddin, pangkalan data syarikat-syarikat Bumiputera yang menerima perolehan kerajaan dapat disemak semula supaya lebih banyak syarikat yang berdaya saing dapat terlibat dalam perolehan kerajaan.

Dalam pada itu jelasnya, pelbagai inisiatif sokongan perlu dilaksanakan untuk memacu ekonomi Bumiputera.

"Ini termasuk melaksanakan dasar keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan kerajaan dan dasar carve out and compete.

"Mengenal pasti pemacu-pemacu ekonomi dalam kalangan korporat Bumiputera dengan projek ekonomi berskala besar untuk dimudah cara oleh kerajaan dengan syarat mereka memperkenalkan Program Pembangunan Vendor yang berpotensi membantu usahawan Bumiputera lain.

"Menyediakan insentif dan sokongan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera yang menceburi bidang-bidang teknologi baharu dan ekonomi masa depan," ujarnya.

Katanya, inisiatif itu termasuk memperbanyakkan program kerjasama dan pementoran (mentorship) usahawan muda Bumiputera dengan syarikat-syarikat korporat Bumiputera dan GLC.