KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengusahakan satu petisyen di kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi membuktikan bahawa majoriti Ahli-Ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH juga menegaskan pihaknya bersedia menyertai jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid dengan syarat persidangan perlu diadakan sebelum 1 Ogos.

Majlis Presiden PH berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen.

"Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang Ahli-Ahli Parlimen.

"Pada masa yang sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik COVID-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini," kata kenyataan yang ditandatangani ketua tiga parti komponen PH.

Terdahulu, Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju Parlimen bersidang semula, namun tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang berkenaan kelak.

BACA: Ahli Parlimen UMNO, BN setuju Parlimen dibuka, tidak akan sokong undi tidak percaya

Kumpulan Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata mereka menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Mereka berkata amat mengharapkan sidang Parlimen tersebut dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19.