Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kaedah meletakkan calon langsung bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN) sebagai formula politik yang cukup unik.

Katanya, demi kepentingan rakyat Sarawak, formula itu sekaligus dapat menampilkan calon yang mampu menang selain menyampaikan khidmat yang terbaik buat rakyat.

"Formula politik di Sarawak cukup unik walaupun kita ada parti-parti komponen yang mempunyai afiliasi yang terus (dengan BN) tetapi ada rakan lain iaitu calon-calon langsung BN dan di atas semangat BN, mereka sanggup meletakkan jawatan dalam parti mesra BN mereka kerana yakin hanya BN boleh menjanjikan aku janji terbaik untuk seluruh pengundi-pengundi dan rakyat Sarawak," kata Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang George Chungot, Nanga Nansang, di sini.


Turut hadir, calon langsung BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.

Justeru beliau berharap rakyat Sarawak memahami formula berkenaan dan memberi keyakinan kepada calon langsung BN.

"Formula Ketua Menteri, Tan Sri Adenan ini adalah formula yang harus difahami rakyat Sarawak sebab ia adalah demi kepentingan rakyat Sarawak. Calon langsung BN ini adalah calon yang telah mendapat restu daripada pucuk pimpinan BN kerana mereka akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

"Formula yang unik ini tidak ada di mana-mana negara. Formula unggul ini adalah sesuatu yang luar biasa," katanya.

Pilihanraya negeri Sarawak ke-11 menyaksikan BN menampilkan 13 calon langsung.

Proses pengundian bakal berlangsung pada 7 Mei ini dengan 80 kerusi Dun Sarawak menjadi rebutan selepas BN menang dua kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon semalam.