KUALA LUMPUR: Pindaan perlembagaan UMNO penting untuk menyempurnakan hasrat ahli dan akar umbi parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu, tetapi juga sebagai kelangsungan parti untuk berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Penganalisis Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini termasuklah merapatkan barisan dan mengelakkan kepincangan seperti yang berlaku pada tahun 2018.

"Pindaan penting untuk menyempurnakan hasrat ahli akar umbi seperti yang diputuskan Mac lalu jadi ia tidak mengejutkan apabila mereka sebulat suara meluluskan pindaan itu hari ini.

"Kedua, situasi ini penting bagi survival parti dalam PRU15 supaya mereka dapat rapatkan barisan dan tidak lagi berdepan kepincangan seperti tahun 2018, malah perpecahan juga berlaku dalam pemilihan sebelum ini.

"Ini sekali gus boleh mempercepatkan tarikh PRU15, ia satu elemen yang tersirat, apa yang dipersetujui dalam PAU yang lalu," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Ahad.

Prof Sivamurugan juga berpendapat perkembangan terbaharu ini akan mewujudkan kenyataan dan desakan bagi mengelak kesilapan lalu.

"Tarikh PRU kuasa mutlak Perdana Menteri tetapi ia perlu dapat perakuan istana, itu pun aspek yang kena diteliti juga, kena ada persetujuan bersama agar ia tak merencatkan perancangan parti.

"Saya lihat lepas PAU khas ini jentera parti akan dimobilisasi sepenuhnya, tidak kisah bila pun PRU kerana mereka tidak mahu ulang kesilapan.

"UMNO pasti mahu pertahan maruah dan jenama, UMNO dan Barisan Nasional seperti singa terluka sejak 2018 jadi penting keputusan dalam PAU khas ini akan menyemarakkan persediaan PRU15 dan kepimpinan pasti mahu desak Perdana Menteri laksanakannya secepat mungkin," katanya lagi.

BACA: Pindaan Perlembagaan: UMNO hantar surat mohon kelulusan ROS dalam 60 hari - Ismail Sabri

BACA: Usul pindaan perlembagaan UMNO tangguh pemilihan parti lulus - Ahmad Maslan

Terdahulu, seramai 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian seluruh negara yang menghadiri PAU Khas hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO.

Usul yang diluluskan secara rasminya itu membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Dengan kelulusan itu, MKT UMNO akan diberi dua pilihan sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Politik | Pindaan Perlembagaan UMNO fokus PRU15