Percakaran dalam kalangan pemimpin PKR berhubung isu peningkatan keangotaan parti di Cabang Julau secara mendadak dalam pemilihan parti semakin berterusan.

Terbaharu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya mengkritik Pengarah Komunikasi, Fahmi fadzil apabila mendakwa biro politik parti itu cuba memadamkan kebenaran susulan keputusan mengesahkan jumlah keahlian Cabang Julau.

"Kenyataan itu tidak lebih daripada satu usaha untuk memadamkan kebenaran berhubung isu keahlian cabang Julau yang penuh kontroversi oleh badan tertinggi PKR.

"Jika keahlian ahli di cabang itu benar sah seperti didakwa biro politik tersebut kenapa ramai yang tampil membuat aduan dimana nama mereka dimasukkan dalam senarai keahlian Julau tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fahmi semalam mengesahkan isu keahlian mendadak bagi Cabang Julau daripada 603 orang kepada 13,000 yang katanya tidak melanggar sebarang proses.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata keputusan itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik.

Isu peningkatan keahlian Cabang Julau mencetus kontroversi sehingga laporan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) dibuat.

Dua hari lepas Latheefa turut mengkritik lawatan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau yang disifatkan tidak kena pada masa terutama menjelang pemilihan terakhir parti di negeri itu.

Tambah Latheefa, keputusan biro politik juga mengabaikan bukti berlakunya penipuan sistematik seperti mana tertulis dalam akauan berkanun oleh Ketua PKR Sarawak, Vernon Kedit.

"Asasnya apabila ada aduan serius dibuat, PKR mesti menjalankan siasatan. Namun biro politik memutuskan untuk mengesahkan keahlian Julau tanpa melakukan siasatan.

"Cara pemilihan PKR dijalankan lebih teruk daripada era Barisan Nasional, Suruhanjaya Pilihan Raya menguruskan pilihan raya.

"Jika proses undi di Julau pada Sabtu diteruskan, ia akan menjadi satu proses pilihan raya yang keji dan memalukan kerana itu menggantung pemilihan cabang tersebut serta-merta," tambah Latheefa.