Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bukan lagi komponen terlemah, atau ‘ the weakest link’, dalam Pakatan Harapan (PH), sebaliknya parti itu kini berada di barisan hadapan dalam proses “Malaysia Baharu”, tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, selepas Pilihan Raya Umum yang lepas, PKR kini muncul sebagai komponen terbesar dengan jumlah Ahli Parlimen sebanyak 50 orang, 70 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta dua Menteri Besar (Selangor dan Negeri Sembilan).

“Kita juga mempunyai anggota berbilang bangsa paling ramai, dan ahli Parlimen termuda. Sesiapa sahaja yang berfikir Keadilan adalah ‘the weakest link’, mereka sama sekali tersilap.

“Kita berterima kasih atas kepercayaan yang telah diterima dan peluang untuk berkhidmat kepada negara,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK sempena kongres sayap itu, di sini hari ini.

Namun, beliau berkata, AMK tidak seharusnya rasa berpuas hati, sebaliknya mereka harus terus berada di barisan hadapan untuk perubahan politik di Malaysia, walaupun di bawah kepimpinan baharu.

“AMK dan Pemuda Harapan perlu menyokong parti, gabungan, dan kerajaan, tetapi tidak takut untuk menegur apabila perlu. Semangat pemuda tidak boleh dan tidak akan mati,” tegasnya lagi.

Dalam ucapannya, Nik Nazmi turut menyebut bahawa rakyat memerhati secara dekat bagaimana Kerajaan baharu pimpinan PH menerajui negara ini.

Justeru beliau berkata, dalam memperkenal pembaharuan, termasuk langkah drastik mencegah gejala rasuah, korupsi dan penyalahgunaan kuasa, harus dititikberatkan juga agenda kesejahteraan rakyat, seperti mana terkandung dalam manifesto PH untuk PRU lepas.

“Manifesto PRU14 ialah janji kepada rakyat Malaysia. Dan janji mesti ditepati. Kita semua bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada Tuhan,” ucapnya lagi.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua AMK, Nik Nazmi berkata, beliau yakin di bawah kepimpinan baharu, sayap itu akan terus diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

“Apa yang rakyat mahu, adalah untuk kita menunjukkan prestasi yang tinggi. Sekali lagi, kita mesti menganjakkan paradigma dan menunjukkan bahawa kita boleh melakukan lebih baik. Saya berharap anda semua melakukan yang terbaik,” katanya sewaktu mengakhiri ucapan dasar beliau.