Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini dalam keadaan bersedia sekiranya berlaku pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau juga telah memberikan arahan kepada jentera PKR Selangor supaya bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan.

“Pilihan raya adalah perkara utama parti politik, saya fikir semua parti politik bersedia untuk menghadapinya.

“Saya percaya kita telah bermesyuarat, PH (Pakatan Harapan) pada bulan lepas telah memberi arahan kepada jentera (supaya bersedia hadapi pilihan raya mengejut).

“Daripada Keadilan juga, dua minggu lepas, kita dah beritahu jentera parti supaya bersedia kalau diperlukan,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Astro AWANI baru-baru ini melaporkan Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini menggesa semua parti komponen PH agar mempersiapkan jentera pilihan raya dengan kadar segera.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, persediaan perlu dibuat kerana pilihan raya mengejut (snap election) mungkin boleh berlaku dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor memaklumkan kerajaan negeri akan mengisi dua kekosongan jawatan Exco Negeri itu selewatnya dalam bulan ini.

“Pasti akan diisi, sebelum Hari Raya Haji. Kedua-dua kekosongan itu akan diisi,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kedua-dua kekosongan itu merupakan portfolio kritikal, transisi itu sangat penting untuk dilaksanakan.

Kekosongan itu disebabkan PKR menggantung keahlian melibatkan ADUN Sementa, Haniza Mohamed Talha yang juga merupakan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar.

Kekosongan sebelum itu melibatkan Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari yang tidak lagi memegang jawatan sebagai Exco di Selangor pada Mac lepas.

Amirudin dalam kenyataan sebelum itu mengesahkan keputusan diambil selepas perbincangan bersama pemimpin utama PH negeri.