Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan rancangan menghalang Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari merasmikan Perhimpunan Agung Sayap UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Disember ini sebagai satu khabar angin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk ahli UMNO untuk tidak percaya khabar angin tersebut dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti.

Mustapa berkata, beliau sendiri tidak mendengar dakwaan seperti itu dan berharap ia dihentikan segera bagi mengelak sebarang spekulasi.

"Saya tidak mendengar apa-apa khabar angin. Saya tidak dengar apa-apa khabar angin berkaitan itu. Anggaplah itu sebagai khabar angin," jelas Mustafa selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelerasan Industri (JBI) di antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darulaman, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Semalam, Muhyiddin ketika menjawab soalan pada sesi dialog `Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian di Johor Bharu mengakui mendengar khabar angin yang mengatakan wujudnya rancangan untuk menghalang beliau daripada merasmikan Perhimpunan Agung Sayap UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Disember depan.

Mengikut tradisi UMNO, timbalan presiden akan merasmikan perhimpunan sayap jika perhimpunan Agung UMNO diadakan.