TUMPAT: Perikatan Nasional (PN) selesai membahagikan semua kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembahagian kerusi bagi parti di bawah gabungan tersebut dilakukan atas dasar perbincangan ‘adik-beradik’.

“Jadi, tidak timbul isu ikhlas atau tak ikhlas.

“Pembahagian kerusi dah selesai semua, cuma mungkin boleh ditukar-tukar atau macam mana nanti terpulang kepada Majlis Tertinggi untuk menentukan,” katanya selepas Majlis Sumbangan Bantuan Banjir PN kepada 8,000 mangsa di Chabang Empat, Wakaf Bharu di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, PN mengutamakan calon yang terbaik untuk diletakkan di satu-satu kerusi.

“Kalau yang baik daripada Pas maka calon Pas itulah yang akan diletakkan manakala kalau baik Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), kita letak calon Bersatu di kerusi itu,” katanya.

Beliau turut yakin pengundi akan memberikan sokongan kepada PN pada PRN kali ini berdasarkan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Enam negeri yang belum mengadakan PRN adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Hamzah menyifatkan kenyataan dibuat oleh seorang pemimpin UMNO yang mengatakan DAP lebih baik daripada Pas sebagai perkara yang karut-marut.

“Kalau macam tu, dunia ini dah tak betul. Orang yang sama jumpa dengan saya selepas PRU15 lalu mengaku akan menentang sebarang kerjasama dengan DAP,” katanya. -Sinar Harian