KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional tidak bersetuju Pilihan Raya Umum (PRU15) diadakan sewaktu musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN sememangnya berpendirian bahawa PRU15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya di negeri-negeri pantai timur yang akan terjejas akibat musim tersebut.

“Mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, PN berpendapat, rakyat sedang berdepan dengan pelbagai jenis bebanan termasuk isu inflasi, kejatuhan nilai ringgit, serta fasa pemulihan negara yang dianggap perlahan.

Bahkan, pihaknya menyatakan, perkara seumpama itu wajar terlebih dahulu diberikan tumpuan oleh kerajaan berbanding memikirkan soal untuk mengadakan pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu kesemua Ahli Jemaah Menteri dalam kalangan PN diarahakn untuk bertegas dengan pendirian itu di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Ini termasuk kesemua Ahli Parlimen PN yang diminta mengambil pendirian sama.

Baru-baru ini, kepimpinan UMNO telah menyatakan pendirian untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini malah ada yang beranggapan ia boleh dilaksanakan sebelum menjelang musim banjir.