SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima laporan polis berhubung seorang ahli politik mendakwa diperas ugut oleh seorang individu yang dipercayai ada kaitan dengan penyebaran video dan gambar peribadinya menerusi media sosial pada 29 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata siasatan awal mendapati ahli politik itu diugut melalui panggilan telefon supaya mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank individu berkenaan.

"Kegagalan pengadu mendepositkan wang tersebut menyebabkan individu itu menyebarkan video dan gambar pengadu dalam media sosial," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

BACA: UMNO Negeri Sembilan minta penjelasan isu video aksi lucah

Katanya kes disiasat menurut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan polis sedang menjejaki suspek yang dipercayai mewujudkan akaun media sosial palsu yang kemudian dipadamkan, bagi menyebarkan video dan gambar mangsa.

Semalam, media melaporkan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban Mazalan Maarof sebagai meminta Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi parti itu mengambil tindakan terhadap seorang pemimpin UMNO bahagian susulan tularnya video aksi tidak senonoh yang dipercayai membabitkan ahli politik berkenaan.

-- BERNAMA