MELAKA: Surat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dihantar ke Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sehari sebelum empat bekas ADUN mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Demikian dedah Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad susulan pertikaian yang ditimbulkan bekas ADUN Pakatan Harapan (PH) selepas pembubaran DUN dilakukan.

"Surat pembubaran Dewan Undangan Negeri dihantar sehari sebelum sidang media dibuat empat ADUN itu. Itu sebab pembubaran berlaku selepas sidang media itu, tetapi surat diterima sebelum pengumuman empat ADUN itu.

"Jadi apa yang diumumkan Speaker DUN bertepatan dengan Perlembagaan Negeri Melaka, jadi ia tiada cacat cela. Ia mengikut turutan masa ditentukan akhirnya TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka bersetuju membubarkan DUN Melaka," katanya.

Malah tegas Mohamad Ali, Tun Mohd Ali Rustam seorang bijaksana dan membuat keputusan mengikut perlembagaan dan keadilan untuk semua.

"Kalau katakan surat itu selepas pengumuman empat ADUN itu dan Tun Mohd Ali bubarkan DUN, itu lain lah.

"Tun Mohd Ali pun ada penasihat undang-undang dan Tun pun seorang bijaksana dalam menentukan keadilan semua rakyat di Negeri Melaka.

"Bila orang ini, dia mahu harapan dan cita-cita dipenuhi, itu sebab dia sanggup katakan benda bukan bukan supaya rakyat keliru dan berlaku ketidaksenangan dikalangan rakyat negeri Melaka," ujarnya lagi.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka, Adly Zahari dalam sidang media sebelum ini mendakwa Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Jelasnya, Tun Mohd Ali sepatutnya mendengar pandangan daripada majoriti Ahli DUN serta empat yang tidak menyokong kerajaan, sebelum membuat sebarang pertimbangan mengenai perkara itu.