KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal dengan pendirian untuk membawa perubahan bahawa politik bukan percaturan merebut kuasa di peringkat elit atau pimpinan.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan sebenar yang perlu diangkat ialah aspirasi rakyat.

"Jadi ada yang mengatakan Keadilan ini tidak memperjuangkan, menyuarakan, dan memenuhi aspirasi rakyat terutama orang Melayu dan bumiputera.

"Padahal kalau kita sebut, kita akan perkenalkan dasar bahasa kebangsaan, itu dasar yang ada dalam Perlembagaan.

"Soal Islam sebagai agama Persekutuan, soal hak keistimewaan orang Melayu, soal kedudukan Raja-Raja Melayu, itu tidak pernah dipertikaikan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden 'Bangkit Bersama Rakyat' pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-15 secara maya, pada Ahad.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, PKR juga lebih tegas dalam mendokong prinsip Raja Berperlembagaan, selain tidak menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

"Apabila mereka melaksanakan darurat secara rakus dan bila ada nasihat untuk adakan Parlimen, dia putar beli kenyataan itu," ujar beliau.

Katanya, prinsip sama turut disuarakan kepada rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) serta rakan rundingan lain.

"Saya katakan kita tidak boleh berganjak daripada prinsip tatakelola kerajaan yang lebih baik.

"Mesti kembali kepada good governance, mesti ubah paradigma politik ini daripada percaturan politik rebut kekayaan supaya pejabatnya lebih besar, kedudukan lebih tinggi supaya nampak boleh hulur projek sesuka hati, kemudian pamer kemewahan," katanya.