KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelemy Yahya bersedia menerima apa saja keputusan sekiranya beliau tidak menyokong keputusan Barisan Nasional (BN).

"Itu adalah hak parti dan ia terpulang kepada parti. Saya bersedia," katanya.

Shahelemy berkata dalam maklum balas kepada kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengatakan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana ADUN UMNO dan BN yang ingkar dengan keputusan parti.

Pada Jumaat malam, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan UMNO Sabah untuk menarik sokongan daripada kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Jelas beliau, keputusan itu dilakukan sebulat suara bersama pemimpin UMNO Sabah selepas berpendapat Hajiji telah melanggar persefahaman di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Malah, Shahelemy dikatakan antara lima ADUN BN yang tidak hadir pada sidang media Bung Moktar di Bangunan UMNO Sabah Jumaat malam.

Selain itu, Shahelmy yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, ini bukan masa sesuai untuk mana-mana pihak bertindak mengganggu kestabilan kerajaan sedia ada.

Melihat kepada dua tahun kebelakangan ini katanya, pentadbiran kerajaan negeri kini terbukti dengan peningkatan prestasi selama dua tahun berturut-turut.

"Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah - BN (GRS-BN) menunjukkan prestasi yang agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini.

"Kerajaan Negeri mempunyai peningkatan pendapatan, daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas dan kita berjaya menarik pelabur dengan jumlah keseluruhan pelaburan melebihi RM33 bilion.

"Kenapa kita hendak melakukan satu pertukaran kerajaan tanpa sebab-sebab yang konkrit dan mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri ini tidak stabil. Perkara ini akan menghindar para pelabur atau mengurangkan keyakinan mereka untuk datang dan melabur di negeri ini," katanya.