KUALA LUMPUR: UMNO belum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak mengikut langkah UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Ia selepas lima ADUN UMNO berkenaan menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meskipun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan BN menarik sokongan terhadap ADUN Sulaman itu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, keputusan berhubung perkara itu belum dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setakat ini.

“Kita belum buat keputusan tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Lima ADUN terbabit ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) serta Datuk James Ratib (Sugut).

Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dilaporkan berkata, mereka sudah menghantar akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Hajiji.

Terdahulu, Bung Moktar digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri selepas rombakan Jemaah Menteri dilakukan Hajiji.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri I kini disandang oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dengan mengekalkan jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan yang dipegang beliau sebelum ini.

Sementara, Shahelmey pula menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri III dan menggantikan Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya.

Begitu pun, Bung Moktar mendakwa keputusan melantik dua wakil UMNO memegang portfolio menteri termasuk jawatan timbalan ketua menteri dianggap “membelakangkan” parti itu.