ALOR SETAR: Pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti akan memberi kesan buruk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, berkata ini berikutan individu yang dikenakan tindakan itu bernilai tinggi dalam UMNO.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersifat kuku besi, sebab orang yang bernilai dalam UMNO dikeluarkan demi untuk selamatkan peribadi beliau. 

“Mereka ditolak keluar tanpa alasan yang kukuh sudah tentu akan memberi kesan pada PRN nanti dan ini sudah pasti Perikatan Nasional (PN) akan menguasai tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ini tidak mustahil dengan keadaan UMNO sekarang, Negeri Sembilan dan Selangor juga akan jatuh kepada PN.

"UMNO sekarang dalam keadaan amat tenat, sepatutnya perkara ini dibincangkan supaya jadi elok sebab kita nampak Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan mempunyai aura tersendiri untuk menarik pengundi muda bersama UMNO.

"Keputusan ini amat menyedihkan. Kita tak tahu apa yang Presiden UMNO nak sebenarnya. Saya sebagai orang yang digantung sebelum ini pun (berpendapat) sistem menggantung keahlian seseorang itu adalah amat zalim," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

September tahun lalu, Mohd Yusof mengesahkan beliau digantung keahlian parti selama enam tahun. Bagaimanapun beliau berkata, hukuman penggantungan itu ditangguhkan sementara memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, setiap salah laku ahli UMNO perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO dan perlu ada pengadu sebelum lembaga berkenaan bersidang.

"Contohnya bekas pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar... beliau sepatutnya dipanggi Lembaga Disiplin pada Isnin ini... tapi semalam beliau dipecat. Ini tidak adil untuk beliau.

"Selain itu, apa kesalahan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehingga beliau digantung keahlian selama enam tahun. Beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang merosakkan parti," ujarnya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi  memecat keahlian Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor