Ahli Parlimen Damansara Tony Pua hari ini mempersoalkan integriti calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Md Nor yang dikatakan tidak tahu membezakan yang benar daripada yang salah.

Kata Pua, Ramli sebagai bekas pegawai polis sepatutnya menegakkan keadilan serta mengecam pesalah rasuah dan bukannya menjadikan pesalah sebagai idola.

"Sekarang kita lihat bekas pegawai polis Ramli Md Nor bukan sahaja semasa beliau menjadi polis tidak membuat apa-apa untuk membongkar atau menyiasat skandal 1MDB, tetapi kini beliau duduk bersengkongkol dengan (bekas Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak sendiri.

"Apakah contoh yang kita mahu sampaikan kepada masyarakat di Malaysia? Bahawa penjenayah masih boleh jadi pemimpin saya?" soalnya dalam sidang media di Bilik Gerakan Pakatan Harapan di sini pada Isnin.

Pua berkata demikian susulan program kempen Ramli yang kebelakangan ini banyak bersama Najib yang kini berhadapan tuduhan mahkamah disebabkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu turut mempersoalkan kebijaksanaan Ramli dalam membezakan perkara yang benar daripada yang salah.

"Ramli mengikut Najib ke merata tempat seolah-olah Najib adalah heronya. Adakah orang seperti ini layak menjadi Ahli Parlimen?

"Dimana etika dan integriti beliau? Jika seseorang tidak tahu membezakan apa yang benar dan apa yang salah, beliau tiada hak menjadi wakil rakyat," katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Ramli, calon Pakatan Harapan M. Manogaran serta dua calon BEBAS iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.