BENTONG: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai memasuki hari terakhir hari ini, dan esok adalah hari penentuan calon yang bakal dipilih 16,456 pengundi sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.

Parti-parti bertanding memanfaatkan minit akhir sehingga 11.59 malam ini dengan menganjurkan ceramah dan kempen kemuncak dalam usaha mempengaruhi pola pengundian.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang esok, sebanyak sembilan pusat mengundi biasa melibatkan 30 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun, PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Okt lepas, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Bagi tiga calon yang bertanding, hanya Kasim yang akan mengundi esok iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, memandangkan Amizar dan Haslihelmy masing-masing merupakan pengundi di DUN Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.

Dalam pada itu, semakan di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah di daerah Bentong pada sebelah pagi dan malam manakala ribut petir di satu dua tempat pada waktu petang.

Sepanjang tempoh berkempen, baik BN mahupun PN memanfaatkan setiap minit yang diberikan untuk mendekati seramai mungkin pengundi, sama ada secara rumah ke rumah, aktiviti mahupun ceramah, sebelum dilihat lebih agresif sebaik sahaja memasuki minggu kedua.

Kedua-dua parti menampilkan pemimpin utama mereka seperti BN yang bukan hanya dibantu Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tetapi juga mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain kemunculan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang merupakan ADUN Pelangai selama 36 tahun sejak 1986.

PN juga tidak ketinggalan dengan menampilkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang 'turun padang' membantu kempen.

Berbanding dua calon parti, Haslihelmy yang menggunakan simbol kereta pula berkata kempennya adalah secara 'senyap-senyap secara bersemuka' dengan dibantu ahli keluarga, yang menyaksikan tiada bendera atau posternya digantung sekitar DUN Pelangai.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi). - BERNAMA