KUALA TERENGGANU: Pas bakal mempertaruhkan calon anak tempatan yang dekat dengan rakyat untuk bertanding sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan mengumumkan nama calon dari parti itu yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di kerusi tersebut dalam satu majlis pengisytiharan di Pelangai, Bentong, Pahang pada malam ini.

"Insya-Allah, kita akan isytihar calon pada malam ini di Pelangai. Kita akan guna lambang PN (sepanjang kempen) dan calon itu daripada Pas.

"Kita sudah kenal pasti calon yang boleh menang dan dekat dengan rakyat di mana mampu untuk beri sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata, bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon tersebut, namun memberi bayangan bahawa individu tersebut merupakan anak tempatan yang disenangi rakyat.

"Nama calon tak boleh dedah dulu sebab kita nak isytiharkan malam ini. Kita sudah kenal pasti calon boleh menang," ujarnya.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). - Sinar Harian