BENTONG: Perikatan Nasional (PN) percaya pentadbiran Kerajaan Pahang akan berdepan tekanan besar jika gabungan itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Oktober depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana kemenangan itu akan memberi tambahan kerusi kepada PN di peringkat DUN.

"Dari segi pentadbiran memang masih kekal, cuma kita masih boleh bayangkan kalau pembangkang 18 (kerusi DUN), parti yang menerajui kerajaan (Barisan Nasional) sebanyak 16 (kerusi), ia akan beri satu tekanan besar kepada pihak kerajaan (negeri).

"Dari segi politik demokrasi, suara pembangkang itu sudah melebihi suara yang mendominasi suara parti kerajaan.

"Tanpa gabungan dengan Pakatan Harapan (PH), sebenarnya mereka sudah tidak boleh meneruskan agenda negeri," katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini, pada Sabtu.

Komposisi DUN Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah BN dan PN masing-masing mempunyai 17 kerusi, manakala PH menang lapan kerusi.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim berpandangan sebahagian ahli UMNO telah kecewa dengan parti Melayu itu, termasuk tindakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli yang mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas.

Jelas beliau, perpecahan yang berlaku dalam UMNO, yang dianggap 'tidak besar', mungkin memberi sedikit kelebihan kepada PN, tetapi gabungan itu masih perlu bekerja keras untuk memenangi hati pengundi di kerusi berkenaan.

"Tapi inilah realiti yang berlaku dan kita harapkan pengundi-pengundi yang menyokong PN itu lebih fokus, dan kita tak mahu hilang undi yang sia-sia.

"Undi sia-sia tidak bermakna dalam sistem demokrasi. Kita boleh masuk (bertanding sebagai) calon Bebas, itu hak demokrasi tetapi biar undi kita bernilai.

"Untuk dapat undi bernilai, kita  kena sepakat beri kepada satu kumpulan," tambah beliau.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum lalu Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi), dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

PRK kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim dan calon Bebas, Haslihelmy.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan keahlian Haslihelmy telah tergugur serta-merta selepas beliau nekad bertanding atas tiket Bebas.