Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hamzah Zainudin berharap semua anggota parti baik di Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak terus memperkukuhkan perpaduan bagi kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata semua anggota tidak seharusnya bekerja demi kepentingan sesetengah kelompok sebaliknya menumpukan usaha mempertahankan dua kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas.

"Saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, saya sentiasa mahu melihat ahli-ahli UMNO yang ada di dua Parlimen ini dapat menerima hakikat bahawa perpecahan boleh menyebabkan kita tumbang dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Kalau kita boleh menyatukan mereka di kawasan itu dan tidak timbul lagi masalah dalaman, ianya akan memberikan kekuatan kepada parti apabila kumpulan yang ada di situ dapat bekerja dengan penuh komitmen, keikhlasan dan kejujuran untuk menentukan kemenangan calon kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pasaraya Syed di Kipmart Senawang, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata formula kejayaan BN di Sarawak yang mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi harus diaplikasikan dalam dua pilihan raya kecil itu.

Katanya, semangat berpasukan itu kelak mampu memberi keyakinan kepada pengundi untuk terus menyokong BN.

"Kalau ini boleh kita buktikan, insya-Allah rakyat akan beri sokongan yang kuat kepada kita. Saya minta semua ahli UMNO dan terutama penyokong BN, supaya memberi kerjasama dan tidak timbul masalah dalaman yang boleh merosakkan kekuatan kita," katanya.

Mengulas mengenai corak kempen yang akan dilaksanakan BN berikutan ia diadakan dalam bulan Ramadan, Hamzah berkata UMNO dan BN sentiasa mengamalkan kempen berhemah pada mana-mana pilihan raya.

"Sama ada dalam bulan puasa atau tidak, kita sentiasa berkempen secara berhemah, kita tak pernah lagi melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah kerana selalunya BN kempen secara baik," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah serta tiga yang lain termasuk juruterbang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas semalam memutuskan pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).