KUALA LUMPUR: Bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Selain itu, bakal-bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran.

"Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon," katanya.

Beliau berkata kertas penamaan boleh diserahkan dari 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Pada hari penamaan, setiap bakal calon hanya boleh diiringi seorang pencadang dan penyokong untuk masuk ke PPC.

Selain itu, pengunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk pengunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari berkenaan dan ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

"Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan/komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya," katanya.

SPR menasihati bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik dan lancar.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

-- BERNAMA