HULU SELANGOR: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) berakhir selepas kesemua 18 pusat pengundian yang dibuka sejak 8 pagi tadi, secara rasmi ditutup.

Sebanyak 17 pusat pengundian ditutup pada 6 petang ini manakala satu pusat pengundian iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser ditutup pukul 2 petang tadi.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 74 tempat mengundi atau saluran akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Pusat pengundian ditutup


Keputusan rasmi PRK berkenaan dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya seawal 9 malam.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Pada Selasa lepas, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.

Terdahulu, proses pengundian berlangsung dalam keadaan cuaca baik di sebelah pagi dan hujan di sebelah petang selain lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

-- BERNAMA