Otai Reformis menggesa Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun depan.

Jurucakap Otai Reformis, Saiful Arifin berkata kumpulan aktivis itu juga mahu ikatan antara parti-parti PH juga perlu diperkukuhkan.

"Kami merupakan NGO yang menyokong dan mendesak Pakatan Harapan diperteguh dan diperkukuhkan dengan mengetengahkan calon Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Asas hujahnya bahawa kewujudan Amanah adalah bukan pengganti bahkan menjadi lebih baik menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang sedia ada yang ditukar kepada Pakatan Rakyat.

"Rakyat tahu bahawa Amanah memikul membawa demokrasi dan memperkukuhkan Pakatan Harapan," katanya ketika menyerahkan Memorandum Otai 1998 di Wisma Amanah di sini hari ini.

Menurutnya lagi, tanggungjawab tersebut perlu digalas Amanah bagi membuktikan parti itu merupakan sebuah parti yang dominan kaum Melayu.

"Peluang ini saya anggap dua kerusi Parlimen harus diberi tanggungjawab kepada Amanah untuk membuktikan bahawa Amanah merupakan satu parti yang akan jadi dominan kepada Melayu, memandangkan kedua-dua kerusi ini majoritinya Melayu dan Amanah merupakan parti yang relevan dan membawa demokrat Muslim di masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata pihaknya menghargai pandangan Otai Reformis itu dan beliau akan mengemukakan pandangan itu ke Mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.

"Kami amat menghargai atas segala cadangan itu dan kami akan bincang bersama serta di atas nama Pakatan Harapan, kita akan kemukakan pandangan dan Pakatan Harapan yang akan menentukan calon dan hasrat daripada Otai Reformis.

"Kami akan ketengahkan bersama hujah kami untuk kita bertanding dalam PRK Sg Besar dan K.Kangsar di atas nama Pakatan Harapan," ujar Mohamad selepas menerima memorandum tersebut.

Beliau menerima memorandum itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Amanah Pusat di Wisma Amanah di sini hari ini.

Media difahamkan, mesyuarat tersebut antara lain membincangkan berkenaan pendirian Amanah dalam PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas Jumaat memutuskan pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).