PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Jan 2026 - SPR

Mesyuarat khas bagi membincangkan urusan berkaitan PRK DUN Lamag dan PRK Kinabatangan bermula jam 10 pagi ini dengan dipengerusikan oleh Ramlan (kiri), di ibu pejabat SPR, Putrajaya. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 24 Jan 2026.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah pada 24 Jan 2026 selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin.
- Daftar pemilih bagi PRK tersebut mengandungi 48,722 pemilih, dengan peruntukan belanja sebanyak RM10 juta untuk penganjuran pilihan raya.
- SPR melantik pegawai pengurus pilihan raya dan 1,106 petugas untuk proses PRK, serta membuka peluang kepada agensi kerajaan dan NGO sebagai pemerhati proses pilihan raya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Ramlan berkata daftar pemilih bagi PRK berkenaan mengandungi seramai 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 polis yang merupakan pengundi awal.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi mengadakan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag berjumlah RM10 juta.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang diadakan 29 Nov lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.
Sementara itu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
Menurut Ramlan tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 10 Jan 2026 hingga 11.59 malam 23 Jan manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK terbabit dibuka mulai hari ini secara dalam talian.
Katanya tarikh tutup permohonan untuk undi pos adalah pada 8 Jan 2026 bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media) dan 6 Jan 2026 bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) serta kategori 1C (agensi/organisasi).
Beliau berkata bagi menjalankan proses PRK tersebut, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu lapan penolong pegawai pengurus manakala Dewan Sri Lamag, Kinabatangan dijadikan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) serta 1,106 petugas dilantik untuk mengendalikan proses tersebut.
"Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan," katanya.
SPR menasihati bakal calon supaya membuat semakan awal borang serta membayar deposit lebih awal sebelum hari penamaan calon dan kertas penamaan yang lengkap serta disemak mesti dikemukakan di PPC yang ditetapkan.
Selain itu, SPR turut membuka peluang kepada mana-mana agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan yang berminat menjadi pemerhati bagi melihat penjalanan proses PRK itu bermula pada hari penamanaan calon sehingga pengumuman keputusan di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU.
Pengundi boleh menyemak maklumat pengundian melalui portal, talian hotline atau aplikasi SPR, manakala maklumat dan borang permohonan pemerhati pilihan raya boleh didapati di portal www.spr.gov.my mulai hari ini sehingga 31 Dis 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


