SHAH ALAM: Kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersoal apabila kerajaan kini didakwa memberi suapan kepada rakyat secara terang-terangan, namun tiada tindakan diambil.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau tidak berpuas hati apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan program mengagihkan barangan secara terbuka ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sedang berlangsung, namun tiada sebarang tindakan drastik diambil.

"Saya sumpah tidak mengerti mengapa bila mereka yakni PH-BN buat program dan beri barang terang-terangan dalam tempoh berkempen langsung tiada tindakan drastik daripada pihak penguasa seperti SPRM dan SPR berhubung cubaan merasuah pengundi.

"Bila puak mereka main 3R berkali-kali, menteri agama sekadar menasihati walhal laporan polis daripada Pemuda Perikatan Nasional (PN) sudah berkajang-kajang!," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Menerusi hantaran itu, beliau turut memuat naik satu rakaman video berdurasi satu minit dan 17 saat yang didakwa memaparkan pengundi DUN Pelangai menerima beras tempatan secara percuma di kawasan berkempen.

"Bila saya kata ini satu kemunafikan berpolitik ramai yang marah tapi kalau bukan, apa benda ini? Charity?

"Penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah! Tapi seperti mereka dabik dada, suka hati kami, ini kerajaan kami," ujarnya. - Sinar Harian